PETALING JAYA – Perkongsian seorang pengguna media sosial di Threads yang mendakwa wad kanak-kanak di beberapa hospital kini semakin penuh akibat jangkitan penyakit bermusim mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengguna @diaacydaa_, ibu bapa dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mengelakkan membawa anak-anak ke kawasan permainan tertutup atau lokasi yang menjadi tumpuan ramai buat sementara waktu.
Menurutnya, pelbagai jangkitan virus seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), influenza serta Respiratory Syncytial Virus (RSV) (masalah pernafasan) kini dilihat semakin meningkat.
Wanita itu juga manasihatkan ibu bapa untuk kuarantin anak-anak yang kurang sihat daripada menghadiri taska atau sekolah.
“Dah masuk musim HFMD, influenza dan RSV. Tolong sangat jangan bawa anak bermain di tempat indoor (tertutup) atau outdoor (terbuka) yang ramai kanak-kanak buat masa sekarang.
“Kalau anak dihantar ke taska atau sekolah, kuarantinkan dahulu jika tidak sihat. Kita jaga kita,” katanya.
Wanita itu turut berkongsi pengalaman anaknya yang pada mulanya hanya mengalami batuk sebelum keadaan bertambah teruk sehingga dimasukkan ke hospital.
Katanya, selepas tiga hari dirawat, doktor mengesahkan anaknya dijangkiti RSV.
“Anak saya mula-mula batuk sahaja, lama-lama semakin teruk. Hari ketiga baru dapat kesan RSV. Kesian sangat sebab sakit badan yang dialami macam Covid-19 tetapi lebih teruk,” katanya.
Perkongsiannya juga menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa lain yang berkongsi pengalaman hampir sama apabila anak-anak mereka jatuh sakit secara tiba-tiba.
Seorang pengguna @arezieyrah_aryeizera berkata, anaknya mengalami batuk dan selesema secara tiba-tiba sehari selepas dibawa ke pasar malam.
“Baru teringat hari Selasa ada bawa dia ke pasar malam. Esoknya terus batuk kuat,” katanya. KOSMO! ONLINE














