JOHOR BAHRU – Golongan pengundi muda dan baharu dijangka menjadi faktor penentu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan jumlah mereka yang besar serta kecenderungan kumpulan tersebut membuat pilihan berdasarkan isu semasa berbanding kesetiaan kepada parti politik.
Data rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan kelompok pengundi muda merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan pengundi berdaftar di Johor.
Daripada keseluruhan 2,727,926 pengundi berdaftar bagi PRN Johor ke-16, seramai 165,386 orang terdiri daripada pengundi berusia 18 hingga 20 tahun, diikuti 544,657 pengundi berusia 21 hingga 29 tahun dan 587,888 pengundi dalam kelompok umur 30 hingga 39 tahun.
Keseluruhannya, gabungan pengundi berusia 18 hingga 39 tahun mencecah 1,297,931 orang atau 47.57 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di negeri ini.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, segmen pengundi itu mempunyai pengaruh besar kerana mereka mampu mengubah corak sokongan di kawasan-kawasan marginal yang menyaksikan kemenangan dengan majoriti kecil.
Menurut beliau, kumpulan pengundi muda dan pengundi baharu pada PRN Johor kali ini berada dalam jumlah yang signifikan, sekali gus menjadikan mereka antara sasaran utama parti-parti politik yang bertanding.
“Golongan ini boleh menentukan siapa yang menang kerana mereka bukan pengundi tradisional yang terikat kuat dengan mana-mana parti politik. Mereka lebih menilai prestasi, tawaran dasar, isu ekonomi serta perkara yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan mereka.
“Di kawasan yang mempunyai majoriti kemenangan kecil, perubahan sokongan beberapa ribu undi daripada kumpulan ini sudah cukup untuk menentukan keputusan pilihan raya,” katanya ketika mengulas landskap PRN Johor ke-16.

Beliau berkata, isu berkaitan peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, perumahan, pembangunan bakat serta peluang ekonomi antara perkara yang dekat dengan golongan berkenaan.
Katanya, pengundi muda juga cenderung memberi perhatian kepada dasar yang boleh membantu mereka memulakan kehidupan seperti mendapatkan pekerjaan stabil, meningkatkan pendapatan dan memiliki rumah sendiri.
“Golongan muda sedang berada pada fasa membina masa depan. Jadi mereka akan melihat parti mana yang menawarkan penyelesaian yang realistik terhadap cabaran yang mereka hadapi,” katanya.
Mazlan berkata, penglibatan kumpulan tersebut dalam PRN bukan sekadar hadir mengundi, malah turut berlaku melalui penyertaan aktif dalam kempen politik terutama menerusi platform digital dan media sosial.
Menurutnya, kaedah kempen tradisional semata-mata tidak lagi mencukupi kerana kebanyakan pengundi muda memperoleh maklumat politik melalui media sosial seperti video pendek, siaran langsung, perbincangan digital serta kandungan interaktif.
Beliau berkata, pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik dan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun turut menjadikan landskap politik lebih dinamik.
“Dalam situasi pertandingan yang rapat, pengundi muda dan pengundi baharu berpotensi menjadi ‘kingmaker’ kerana kecenderungan mereka berubah mengikut isu semasa dan bukannya berdasarkan faktor tradisi politik,” katanya.














