SEREMBAN – Bau kurang menyenangkan yang dihidu penduduk dari sebuah unit kediaman di Flat UDA Ampangan di sini membawa kepada penemuan mayat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.39 petang itu, polis menerima maklumat daripada orang awam sebelum sepasukan pegawai dan anggota bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, dengan bantuan bomba, pintu rumah berjaya dibuka sebelum mangsa ditemui meninggal dunia kira-kira sejak enam hari lalu di dalam kediaman berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang tanda pergelutan, unsur jenayah atau kesan pecah masuk.
“Siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai tinggal bersendirian dan mempunyai sejarah beberapa masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR) dan siasatan diteruskan sementara menunggu keputusan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE















