MELAKA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari dilihat masih mengambil tempat di blok kerajaan pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Amanah Melaka dalam pentadbiran kerajaan negeri susulan pengumuman DAP menarik sokongan terhadap kerajaan negeri semalam.
Situasi itu berbeza dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP iaitu Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Leng Chau Yen (Banda Hilir) dan Kerk Chee Yee (Ayer Keroh) yang telah berpindah ke blok pembangkang bersama wakil Perikatan Nasional (PN) dan bebas.
Semalam, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengumumkan DAP keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta sebagai bantahan terhadap kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Ketika pengumuman itu dibuat dalam sidang media khas semalam, Adly tidak hadir. Bagaimanapun, Poay Tiong memaklumkan Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan itu senada dengan pendirian DAP berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat atas prinsip parti yang menolak pelaksanaan ADUN lantikan kerana disifatkan bercanggah dengan semangat demokrasi dan pilihan raya.
Susulan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan berkenaan bagi memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, sehingga persidangan DUN berlangsung hari ini, hanya empat ADUN DAP mengambil tempat di blok pembangkang, manakala Adly yang juga merupakan ADUN Bukit Katil dilihat masih berada di blok kerajaan. – KOSMO! ONLINE















