SEREMBAN – Sebagai bekas pegawai kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Razali Abu Samah akan menggunakan pengalamannya untuk ‘menawan’ kerusi itu.
Razali yang telah bersara pada Jun 2023 berkata, beliau masih baharu dalam politik, tetapi perkara itu tidak melemahkan semangatnya untuk memenangi hati pengundi.
“Melihat kepada pengalaman sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka, saya rasa ia boleh diterapkan apabila berhadapan dengan masyarakat kerana sebelum ini saya berurusan dengan pegawai dan anggota,” katanya ketika ditemui ketika berkempen di Kampung Ujong Pasir, Sikamat di sini.
Menurutnya, beliau tidak akan mendedahkan strateginya kerana itu merupakan ‘senjata’, sebaliknya akan mendekati pengundi untuk mengetahui permasalahan dan mengkaji daripada pelbagai aspek.
Razali yang berasal dari Jelebu berkata, walaupun berdepan dengan calon berpengalaman daripada PH dan Bersatu, beliau tidak gentar kerana persaingan bukan antara figura tetapi idea.
“Kita bukan berlawan dengan orang atau figura tetapi dengan idea, siapa yang boleh memenangi hati masyarakat dan berdepan dengan permasalahan yang dihadapi,” katanya.
DUN Sikamat menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Razali dengan Nor Azman Mohamad (Pakatan Harapan) dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (Bersatu).
Pada PRN 2023, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.- KOSMO! ONLINE














