KAJANG – Seorang penunggang motosikal yang bekerja sebagai pemandu bas maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan tiga Jalan Permaisuri, Bandar Mahkota Cheras, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun.
“Ketika itu, sebuah motosikal yang ditunggang mangsa keluar dari simpang tersebut secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta gagal mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.














