IPOH – Kematian tiga beranak yang mayat mereka ditemukan di sebuah rumah di Bandar Baru Tambun di sini semalam dipercayai berpunca akibat keracunan gas karbon monoksida.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian tiga mangsa adalah disebabkan ‘probable carbon monoxide toxicity’ iaitu kemungkinan keracunan gas karbon monoksida.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, kes masih diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut sementara menunggu keputusan analisis saintifik dan laporan berkaitan bagi melengkapkan siasatan.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian selain menghormati privasi dan menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan seorang wanita dan dua anak perempuannya ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Bandar Baru Tambun.
Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa berusia 46 tahun dan dua anak berusia 11 dan 12 tahun sudah meninggal dunia di dalam bilik.
Pemeriksaan di bilik berkenaan menemukan bekas dipercayai berisi sisa arang selain tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh kesemua mangsa. – KOSMO! ONLINE














