PETALING JAYA – Tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggalkan wang ganti rugi selepas merosakkan langsir di rumahnya dipuji orang ramai.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh @Hamzie_Hambali, dia menceritakan anak lelakinya meninggalkan sekeping nota permohonan maaf bersama beberapa keping wang kertas dari tabung miliknya.
Menurutnya, kerosakan langsir itu berlaku akibat dia yang bermain aksi ‘spiderman’ ketika ibunya tiada di rumah dan bertindak membuat nota itu kerana takut dimarahi.
“Anak aku darjah tiga main ‘spiderman’ kat langsir. Emaknya keluar malam tadi, balik-balik jumpa nota ini.
“Punyalah dia takut kena bebel dengan mak dia hahaha…alahai. Emaknya ambil dan masukkan balik dalam tabung dia,” katanya.
Tambahnya lagi, dia berasa bangga dengan sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh anaknya itu walaupun baru berusia sembilan tahun.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji didikan ibu bapa kanak-kanak tersebut dan menyifatkan sifat empati yang tinggi itu bermula daripada teladan baik di rumah.
“Terbaik Yunus. Tak semua anak kecil ada rasa tanggungjawab dan prihatin macam ni masa sedang membesar, ibu bapa awak memang bagus dalam mendidik anak,” ujar @Awintahir_.
“Comelnya. Mommy (ibu) jangan beritahu dah masukkan balik duit tu dalam tabung. Bagi dia rasa sikit macam mana kalau rosak barang kena ganti,” tambah @Bellasabellaaaa. – KOSMO! ONLINE














