KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti pelaksanaan konsep Right to Repair (hak membaiki) bagi membolehkan pemilik kenderaan mendapatkan akses kepada maklumat teknikal daripada pengeluar untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan di bengkel pilihan mereka.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, ketika ini pengguna bebas memilih bengkel selepas tempoh waranti tamat, namun bengkel berkenaan tidak mempunyai akses kepada maklumat teknikal yang dimiliki pengeluar kenderaan.
“Jika dalam tempoh waranti, pengguna digalak menggunakan bengkel pengeluar bagi mengelak waranti terbatal, tetapi selepas tempoh itu tamat, pengguna mempunyai pilihan menggunakan bengkel lain.
“Jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diterima, mereka boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan itu antara perlindungan yang disediakan kepada pengguna.
“Bagaimanapun, bengkel yang dipilih pengguna itu tidak mempunyai akses kepada maklumat teknikal yang disediakan pengeluar kereta.
“Pada masa ini, negara kita belum mempunyai punca kuasa untuk mendapatkan akses kepada maklumat itu dan perkara ini sedang dipertimbangkan dalam konteks hak pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Sri Low Kian Chuan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Menurut Fuziah, kementerian berpandangan sudah tiba masanya satu kajian menyeluruh dijalankan bagi meneliti keperluan mewujudkan kerangka perundangan berkaitan Right to Repair, termasuk kemungkinan memperkenalkan peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Katanya, pelaksanaan konsep itu perlu mengimbangi hak pengguna mendapatkan maklumat teknikal dengan hak harta intelek yang dimiliki pengeluar kenderaan. – KOSMO! ONLINE














