KUALA LUMPUR – Sebanyak 427 fasiliti kesihatan primer kini beroperasi di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah serta Sarawak bagi memastikan penduduk di kawasan sukar diakses terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, saksama dan berterusan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah memperkukuh Perkhidmatan Klinik Bergerak (PKB) menggunakan pengangkutan darat, air dan udara mengikut kesesuaian geografi.
“Sehingga kini, PKB telah memberi manfaat kepada hampir 66,000 penduduk di Sabah menerusi lawatan ke 416 lokaliti, manakala di Sarawak hampir 95,000 penduduk mendapat manfaat melalui lawatan ke 1,031 lokaliti,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai usaha kerajaan memastikan perkhidmatan kesihatan sampai ke kawasan terpencil termasuk kawasan jajaran pulau dan pedalaman di Sabah serta Sarawak.
Hanifah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperkukuh pendigitalan perkhidmatan kesihatan secara berperingkat walaupun berdepan kekangan liputan internet dan infrastruktur telekomunikasi di beberapa kawasan pedalaman.
Menurut beliau, perkhidmatan telekonsultasi kini disediakan di 34 Klinik Kesihatan di Sabah dan 48 Klinik Kesihatan di Sarawak.
Katanya, penggunaan Electronic Medical Records (EMR) menerusi Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) turut dilaksanakan di 142 Klinik Kesihatan di Sarawak dan sembilan Klinik Kesihatan di Sabah, dengan semua klinik kesihatan di seluruh negara dijangka dilengkapi sistem itu menjelang hujung tahun 2028.
Selain itu, katanya, KKM terus memperkukuh penglibatan komuniti menerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK), Wakil Kesihatan Kampung (WKK) dan Sukarelawan Penjagaan Kesihatan Asas (SPKA).
“Sebanyak 650 PPKK dan 304 SPKA telah ditubuhkan di Sabah, manakala 1,035 PPKK dan 561 WKK telah dilatih di Sarawak bagi menyokong promosi kesihatan serta penyampaian perkhidmatan di peringkat komuniti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














