PETALING JAYA – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mempergiat usaha memperkasakan pengusaha batik muda tempatan menerusi pengurusan harta intelek bagi meningkatkan nilai komersial produk serta meluaskan akses ke pasaran antarabangsa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi pelancaran Program IP Accelerator (IPX) – Evolusi Batik: Memelihara Tradisi, Memperkasa Nilai yang memberi fokus kepada perlindungan dan pengkomersialan hasil kreativiti pengusaha batik muda.
Menurutnya, program tersebut menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada pengusaha batik, artisan, pereka fesyen, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta wakil agensi kerajaan.
“Seramai 100 pengusaha batik muda turut dipilih menyertai Klinik Pengurusan Harta Intelek hasil kerjasama strategik antara MyIPO dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia.
“Klinik ini menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi memberi bimbingan berkaitan strategi perlindungan harta intelek, pembangunan portfolio, penjenamaan serta model pelesenan untuk meningkatkan nilai komersial hasil rekaan batik tempatan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan memperkukuh sektor ekonomi kreatif yang kini menyumbang sebanyak 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dengan nilai kira-kira RM130 bilion berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024.
Tambahnya, pengurusan harta intelek yang berkesan bukan sahaja melindungi hasil ciptaan daripada penyalahgunaan, malah meningkatkan daya saing, nilai produk, identiti jenama dan peluang pengembangan pasaran.
“Pengusaha batik juga perlu bersedia memanfaatkan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan sebagai pelengkap kepada pembangunan produk dan pemasaran tanpa mengabaikan identiti serta keaslian Batik Malaysia sebagai warisan negara,” ujarnya.
Armizan berkata, KPDN menerusi MyIPO akan terus memperluas program pembangunan kapasiti, khidmat nasihat dan kesedaran berkaitan harta intelek supaya lebih ramai usahawan tempatan menjadikannya sebagai strategi pembangunan perniagaan.
Beliau berkata, usaha itu juga sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 yang meletakkan inovasi serta pengkomersialan harta intelek sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara di samping memastikan warisan batik Malaysia terus dipelihara dan mampu menembusi pasaran global. – KOSMO! ONLINE














