KUALA LUMPUR – Cadangan menubuhkan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Sarawak akan diperhalusi menerusi kajian terperinci dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum sebarang keputusan dibuat.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kajian itu akan mengambil kira impak sosioekonomi, kemampanan dana organisasi, faktor geografi, keperluan semasa serta tahap keutamaan.
Menurut beliau, penubuhan sebuah pusat rehabilitasi perubatan dan vokasional yang lengkap dengan kemudahan teknologi rehabilitasi memerlukan kos pembangunan yang besar.
“Tambahan lagi, perkhidmatan sokongan lain daripada hospital yang berdekatan dan hospital pakar juga perlu dilihat dan diambil kira,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Tuan Larry Anak Asap mengenai hasrat kementerian untuk menubuhkan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Sarawak.
Khairul Firdaus berkata, pada masa ini Perkeso telah mengadakan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi menyediakan dan memperluaskan program rehabilitasi serta kemudahan berkaitan rehabilitasi di Sarawak menerusi Hospital Pengajar Unimas.
Selain itu, katanya, Perkeso turut mempunyai 14 panel Pusat Rehabilitasi Perkeso di seluruh Sarawak yang meliputi Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Inisiatif ini memberi manfaat kepada 756,403 pencarum Perkeso di Sarawak yang mencarum di bawah Lindung Pekerja, Lindung Kendiri dan Lindung Kasih bagi mendapatkan faedah rawatan rehabilitasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














