KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan melaksanakan Kajian Pembangunan Dasar Air Pulih Guna (Industri) dalam tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan sebagai asas kepada pembangunan Dasar Air Pulih Guna negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan Air Pulih Guna (APG) bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air, khususnya untuk kegunaan industri yang tidak memerlukan air terawat berkualiti minuman.
Menurut beliau, pendekatan itu juga selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh jaminan bekalan air negara menerusi pengurusan sumber air yang lebih mampan dan cekap.
“Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada pembangunan Dasar Air Pulih Guna sebagai panduan kepada sektor industri selain industri makanan dan minuman (F&B), seperti pusat data, industri semikonduktor dan pembersihan awam,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai garis masa pelaksanaan Dasar Tebus Guna Air Kebangsaan, termasuk keperluan infrastruktur, penglibatan kerajaan negeri dan mekanisme kawal selia kualiti air tebus guna.
Abdul Rahman berkata, kajian itu akan meliputi analisis daripada aspek teknikal, perundangan, kewangan dan ekonomi.
Menurut beliau, kajian tersebut turut menilai keperluan infrastruktur bagi menyokong pelaksanaan air pulih guna, mekanisme kawal selia kualiti air pulih guna serta model pelaksanaan yang bersesuaian.
“Petra juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk Pihak Berkuasa Sumber Air Negeri, Operator Air Negeri, Indah Water Konsortium (IWK), agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta pihak industri.
“Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada kerajaan dalam merangka hala tuju pembangunan air pulih guna negara, termasuk dasar, kerangka pelaksanaan dan mekanisme kawal selia yang bersesuaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














