KUALA LUMPUR – Lebih 45,000 individu yang disyaki terlibat dalam jenayah penipuan dalam talian dicekup menerusi 44,603 operasi yang dijalankan di seluruh negara sejak 2024 hingga Jun lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, usaha membanteras sindiket penipuan dalam talian terus diperkukuhkan menerusi operasi bersepadu, tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan aktiviti risikan.
Katanya, ia termasuk kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara serta perkongsian maklumat dengan institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan.
Beliau berkata, daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 14,547 individu ditahan pada tahun 2024, diikuti 20,292 orang pada 2025 dan 10,883 lagi bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
“Dalam tempoh tahun 2024 hingga Jun 2026, PDRM telah merekodkan sebanyak 44,603 operasi yang melibatkan jenayah dalam talian dan telah menangkap seramai 45,722 orang,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai keberkesanan operasi membanteras sindiket penipuan dalam talian, jumlah tangkapan yang dibuat serta bentuk kerjasama yang dijalinkan dengan institusi kewangan bagi mengekang jenayah tersebut.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, National Scam Response Centre (NSRC) berjaya menyita RM7,005,851.37 pada tahun 2024, namun hanya RM508,479.39 atau tujuh peratus berjaya dipulangkan kepada mangsa.
Pada tahun 2025 pula, jumlah wang yang disita meningkat kepada RM17,494,964.25, manakala RM6,649,171.03 atau 38 peratus berjaya dipulangkan kepada mangsa.
Sehingga Jun 2026, NSRC menyita RM7,286,337.80 dengan RM4,119,873.12 atau 57 peratus daripada jumlah itu berjaya dipulangkan kepada mangsa.
Menurut beliau, peningkatan peratusan pemulangan dana tersebut membuktikan fungsi NSRC sebagai pusat respons scam nasional semakin efektif dan semakin dipercayai rakyat. – KOSMO! ONLINE














