fbpx
PREMIS Network School yang beroperasi di Forest City, Iskandar Puteri.

Jika Network School langgar undang-undang, Forest City ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Forest City menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Network School menggunakan segala hak di sisi undang-undang dan hak kontraktual yang diperuntukkan sekiranya pihak berkuasa mendapati organisasi itu melakukan sebarang pelanggaran undang-undang.

Forest City dalam kenyataan berkata, tindakan berkenaan meliputi pelanggaran membabitkan syarat pelesenan, peraturan imigresen, penggunaan tanah atau kontrak, sekiranya dibuktikan hasil siasatan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, Forest City mengamalkan pendirian toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran undang-undang serta menegaskan tiada mana-mana penyewa, pengendali atau organisasi di kawasan pembangunan itu mengatasi undang-undang Malaysia.

Pada masa sama, syarikat itu menyambut baik tindakan pantas dan tegas kerajaan menjalankan siasatan berhubung isu melibatkan Network School serta menghargai profesionalisme yang ditunjukkan pihak berkuasa sepanjang proses berkenaan.

Katanya, Forest City turut memberikan kerjasama sepenuhnya sejak awal siasatan dan menyambut baik hasil siasatan yang diumumkan setakat ini, selain mengambil maklum kenyataan Menteri Digital, Gobind Singh Deo bahawa sebarang dakwaan berkaitan pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan perlu disiasat secara menyeluruh sebelum tindakan diambil.

“Forest City sentiasa beroperasi selaras dengan undang-undang Malaysia, dasar kerajaan serta segala keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

“Sebarang isu berkaitan pelesenan, imigresen atau pematuhan peraturan hendaklah ditentukan oleh pihak berkuasa melalui proses perundangan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Sebagai pemaju induk, Forest City berkata, peranannya adalah menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Johor dalam membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) sebagai hab pelaburan bernilai tinggi, inovasi digital serta industri berteknologi tinggi bertaraf global.

Menurutnya, Network School merupakan antara organisasi yang tertarik dengan ekosistem pelaburan tersebut, namun seperti penyewa dan pelabur lain, organisasi itu tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia serta semua syarat pelesenan dan keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kewujudan Network School di Forest City menjadi perhatian selepas timbul dakwaan ia dikaitkan dengan kehadiran individu yang disyaki warga Israel.

Susulan itu, kerajaan mengarahkan siasatan menyeluruh melibatkan beberapa agensi bagi meneliti aspek pematuhan undang-undang, pelesenan dan imigresen, manakala Forest City menegaskan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN