GEORGE TOWN – “Saya akan jaga mereka. Saya galas tanggungjawab ini, ganti arwah Shahir.”
Demikian luahan seorang nenek, Salmah Shamsudin, 72, yang kini menjadi tempat bergantung harap dua cucunya berusia 15 dan 13 tahun selepas pemergian anak tercinta, Shahir Zainul, 46, pada 11 Jun lalu.
Warga emas itu berkata, buat masa ini dia akan memastikan kedua-dua cucunya terus dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang meskipun kehidupan mereka serba sederhana.
“Saya akan jaga mereka dulu. Ini tanggungjawab saya. Adiknya masih bersekolah di tingkatan satu dan saya akan pastikan mereka terus belajar.
“Mereka tinggal dengan saya dari kecil, selepas ibu dan arwah bapa mereka berpisah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Bukit Gedung di sini, semalam.
Menurutnya, arwah Shahir merupakan seorang bapa yang terlalu menyayangi anak-anak sehinggakan langsung tidak pernah memarahi mereka.
“Arwah memang terlalu sayangkan anak-anak. Buat salah pun dia tak marah. Saya pula orang tua, kenalah tegas sikit. Kalau suruh mandi atau buat sesuatu, saya kena ingatkan mereka,” katanya.
Baru-baru ini, berita pemergian Shahir telah mendapat liputan meluas akhbar selepas dia dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu.
Laporan kehilangannya dibuat ibunya pada 12 Jun lalu dan berita kematiannya hanya diketahui pada 17 Julai lalu selepas mangsa disenaraikan sebagai mayat tidak dituntut.
Shahir disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang akibat Sindrom Koronari Akut pada pukul 5.28 petang, 11 Jun lalu, sehari selepas dia dilaporkan keluar rumah dipercayai untuk mencari durian di sebuah dusun di Relau, pada pukul 5 pagi.
Dalam pada itu, mengulas keadaan dua cucunya selepas kematian arwah bapa mereka, Salmah memberitahu, kedua-duanya masih sukar menerima kenyataan tersebut.
“Mereka tak pandai cakap rindu, cuma banyak berdiam diri. Bila sebut nama ayah mereka, mereka cepat sebak.
“Insya-Allah, walau susah macam mana sekali pun, saya akan pastikan kedua-dua cucu saya terus bersekolah dan membesar dengan baik,” ujarnya dalam nada sebak.
Terdahulu, kediaman Salmah dikunjungi Pengerusi Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang ( Zakat MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ZPP, Mohamad Kairi Ghazalli dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat (R) Bukit Gedung, Mohd. Farook Hassan Ali, petang semalam.
Mohamad berkata, Salmah layak menerima bantuan zakat yang meliputi saraan bulanan berjumlah RM500 serta bantuan sekali beri (one-off) bagi membantu menampung kehidupan mereka.
Justeru, beliau juga berharap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terus memantau kebajikan keluarga berkenaan termasuk memastikan kedua-dua anak arwah meneruskan persekolahan mereka. -KOSMO! ONLINE














