fbpx
Anwar (kanan) menyampaikan Rela Patrol Kits (RPK) kepada anggota Rela pada Program Madani Kita bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Ipoh hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI

Anwar ingatkan menteri, timbalan menteri jaga disiplin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan menteri, timbalan menteri serta pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya menjaga disiplin dan tidak menggunakan kedudukan mereka sebagai medan politik ketika kempen pilihan raya.

Beliau berkata, walaupun terdapat parti yang sama di peringkat Persekutuan tetapi berdepan persaingan politik di peringkat negeri, perkara itu perlu dilihat dalam kerangka sistem demokrasi.

Katanya, setiap pihak mempunyai hak untuk membuat tafsiran masing-masing, namun pemimpin yang memegang jawatan kerajaan perlu memahami batas dan tanggungjawab mereka.

“Tidak apa, dalam sistem demokrasi ini dibolehkan dan masing-masing boleh buat tafsiran.

“Tetapi dalam perbincangan saya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, kita ingatkan calon-calon terutama yang pegang jawatan menteri atau timbalan menteri atau memegang mana-mana agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Madani Kita Memaknai Harapan Rakyat bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, di sini hari ini.

Menurutnya, peringatan itu dibuat supaya mana-mana pemimpin yang memegang jawatan di peringkat Persekutuan tidak menjadikan kedudukan tersebut sebagai ruang untuk berkempen atau menyerang pihak lain dalam persaingan politik negeri.

“Kalau dia pegang jawatan di peringkat Persekutuan kemudian dia jadikan ini sebagai sebuah medan politik, dia kena jaga juga disiplin,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pemimpin memilih untuk menggunakan jawatan kerajaan dalam persaingan politik sehingga berlaku pelanggaran, mereka perlu berundur daripada jawatan yang disandang.

“Kalau dia pilih nak buat begitu, dia harus undur daripada jawatan dia sebagai menteri, timbalan menteri atau memegang mana-mana agensi, tak kira dari mana-mana agensi sama ada bawah Felda, bawah saya ataupun Mara,” katanya.

Ujarnya, kerajaan mahu memastikan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri kekal baik walaupun berlaku persaingan politik di peringkat negeri.

“Kalau ada pelanggaran itu, saya akan minta mereka undur.

“Setakat ini kita minta mereka kawal supaya hubungan kita di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri kekal baik, kerja boleh dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN