SUNGAI PETANI – Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) intelektual melecur teruk pada muka akibat terkena minyak masak panas selepas diserang sawan ketika memasak di rumah keluarganya di Kota Kuala Muda, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Muhammad Hazim Samsuri, 19, dikatakan sedang menyediakan makanan untuk adiknya sebelum rebah secara tiba-tiba akibat sawan sehingga minyak panas di dalam kuali menyimbah ke bahagian muka dan dada.
Bapa mangsa, Samsuri Jaafar, 49, berkata, sebelum kejadian anak sulung daripada empat beradik itu yang berada dalam keadaan sihat ke dapur untuk menggoreng nuget dan kentang buat adiknya.
“Adik dia minta buatkan nuget dan kentang goreng. Hazim memang rajin membantu di rumah, jadi dia yang masuk ke dapur untuk menggoreng makanan itu.
“Nuget sudah masak dan dia hendak menggoreng kentang pula. Ketika itulah dia diserang sawan sebelum dipercayai tersembam ke arah kuali yang berisi minyak panas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Samsuri, ketika kejadian isterinya berada di dalam rumah manakala dia berada di luar dan tidak menyedari apa yang berlaku kerana tidak mendengar jeritan anaknya atau bunyi kuali terjatuh.
“Sebaik masuk ke dapur saya nampak Hazim terbaring di lantai dan ketika itu sawannya baru reda. Saya kejutkan dia dan dia bangun dalam keadaan sedar tetapi tidak banyak bercakap,” ujarnya yang merupakan seorang nelayan.
Katanya, dia terus bergegas membawa anaknya itu ke sebuah klinik swasta sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jelasnya, doktor memaklumkan anaknya mengalami kecederaan melecur kira-kira 100 peratus pada bahagian muka selain pada dada serta kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH.
“Doktor terpaksa menidurkan Hazim bagi mengurangkan kesakitan dan memudahkan rawatan. Buat masa ini kami belum tahu bila dia akan disedarkan semula,” katanya.
Samsuri berkata, anaknya menghidap penyakit sawan sejak berusia tiga hari dan serangan berlaku antara empat hingga lima kali sebulan.
Tambahnya, Muhammad Hazim yang tidak bekerja banyak membantu ibunya, Siti Mahani Abdul Hamid, 43, di rumah. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Samsuri iaitu Agrobank 1005 1410 0003 4703. – KOSMO! ONLINE














