KUALA LUMPUR – Jenama beras tempatan, Jati melakar sejarah apabila memperkenalkan Chom Chom yang diangkat sebagai snek beras putih pertama di Malaysia sekali gus membuka dimensi baharu kepada penggunaan beras tempatan dalam industri makanan negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, pelancaran produk tersebut membuktikan sektor agromakanan negara terus berkembang melalui inovasi dan pemodenan selari dengan keperluan pasaran semasa.
“Chom Chom merupakan produk nilai tambah berasaskan beras tempatan yang berjaya ditransformasikan menjadi snek moden, sihat dan mampu bersaing di pasaran terbuka.
“Produk seperti ini menunjukkan bagaimana beras tempatan boleh berkembang melangkaui penggunaan tradisional kepada produk moden yang mempunyai potensi komersial lebih luas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Chom Chom di Old Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, produk inovatif seperti Chom Chom akan diketengahkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung di Maeps, Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September depan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Serba Wangi Sdn. Bhd., Low Kok Kean berkata, Chom Chom dihasilkan daripada beras tempatan dan menyasarkan pengguna kanak-kanak, remaja, golongan muda bekerja serta keluarga.
Katanya, syarikat itu melihat potensi besar untuk memperkenalkan beras dalam bentuk yang lebih dekat dengan cita rasa generasi muda selain menawarkan alternatif kepada snek konvensional berasaskan jagung, kentang dan gandum.
“Dengan mengubah beras tempatan kepada pengalaman snek yang menyeronokkan, ringan dan penuh rasa. Kami mahu mendekati generasi pengguna baharu sambil menunjukkan bagaimana inovasi mampu membuka peluang baharu kepada bahan makanan yang sudah biasa digunakan,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, bertitah, penghasilan Chom Chom merupakan inovasi membanggakan kerana berjaya mengangkat beras tempatan daripada makanan ruji kepada produk snek moden bernilai tambah.
Titah baginda, inisiatif tersebut membuktikan warisan pertanian negara mampu terus berkembang melalui inovasi sekali gus mencipta nilai ekonomi yang lebih besar kepada industri dan masyarakat.
“Sebagai wakil dari negeri Kedah, beta berasa amat bangga melihat hasil pertanian tempatan diberi nafas baharu melalui pendekatan yang kreatif, progresif dan berdaya maju seperti ini.
“Beta berharap lebih banyak usaha seperti ini akan terus dipelopori pada masa hadapan bagi memperkasa sektor agromakanan negara dan memartabatkan hasil tempatan,” titah baginda.
Chom Chom ditawarkan dalam dua pilihan perisa iaitu Tomato dan Keju dengan harga bermula RM1.99 bagi pek 60 gram dan RM3.79 bagi multipack 112 gram. – KOSMO! ONLINE














