PETALING JAYA – Tindakan tidak berperikemanusiaan individu yang dipercayai meninggalkan seekor kucing dalam sebuah plastik beras di hadapan rumah orang lain mengundang kecaman ramai di media sosial.
Kejadian itu didedahkan menerusi hantaran pengguna, Mel Lysa di kumpulan Facebook, Teluk Kumbar yang memaklumkan kucing tersebut ditemukan di hadapan kediamannya berhampiran sebuah premis serbaneka sekitar pukul 8.30 hingga 9 malam pada Selasa lalu.
Menurutnya, dia tidak pasti sama ada kucing berkenaan dibuang, menjadi mangsa langgar lari atau diletakkan di situ selepas mengalami masalah kesihatan.
Namun, dia percaya haiwan itu berkemungkinan merupakan kucing peliharaan berdasarkan keadaan bulunya yang masih bersih dan berbau wangi.
“Saya yakin pemilik atau orang-orang terdekat yang kenal kucing ini mesti akan ada di dalam kumpulan (Facebook) ini atau tinggal di kawasan (sama). Satu je nak cakap, kalau sebab dia (kucing) sakit atau kamu tak mampu jaga, boleh terus maklum saya.
“Cakap tak ada duit, tak mampu, tak apa aku bolehjaga sampai sihat. Sekalipun dia dah nak mati dan kamu tahu, janganlah buang macam ini depan rumah orang. Otak dekat mana? Empati tu mana?,” katanya.
Mel Lysa turut meluahkan rasa kecewa kerana percaya individu terbabit sengaja meninggalkan kucing itu di hadapan rumahnya kerana mengetahui dia memelihara banyak kucing.
Malah, dia turut menyuarakan kebimbangan sekiranya kucing tersebut menjadi mangsa perbuatan khianat seperti diracun sebelum dibuang.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam perbuatan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kejam serta tidak berperikemanusiaan.
“Orang nak bela kucing mereka pun nak bela kucing. Lepas tu dah sakit tak mampu bawa ke veterina. Nak bela kucing ni bukan setakat bela sahaja, banyak tanggungjawan. Macam bela anak sendiri juga, tak akan anak sakit buang juga,“ komen Fatin.
“Jangan aniaya kucing, mereka mempunyai firasat dan mereka yang doa kesejahteraan kita,” kata Syawal Azlan.
“Dekat kawasan rumah saya lagi teruk. Tak tahu siapa jadi pembunuh kucing bersiri. Kucing-kucing jalanan dah banyak mati kena pukul. Saya tahu cerita pun dari seorang jiran yang datang cari kucing dia dekat rumah saya,” kongsi Dura Zaman. – KOSMO! ONLINE














