ARENA sukan badminton negara menyaksikan perkembangan terbaharu yang cukup mengejutkan apabila barisan kejurulatihan mengambil keputusan untuk memisahkan dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat tindakan berani itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang dalam misi memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik pada edisi Los Angeles (LA) 2028.
Meskipun mengejutkan ramai pihak, namun penulis percaya, kita perlu memberikan ruang serta waktu kepada ‘eksperimen’ ini untuk membuahkan hasil kerana ia lebih bersifat jangka panjang dan bukannya sementara.
Barisan kejurulatihan pastinya memiliki perancangan tersendiri selain sudah melakukan analisis cukup teliti sebelum mengambil keputusan besar memisahkan dua gandingan terbaik skuad kebangsaan itu.
Hasil keputusan tersebut, Aaron akan membentuk gandingan bersama Kai Wun, manakala Wooi Yik berpasangan dengan Wei Chong dan mereka dijadualkan menyertai kejohanan pertama pada Terbuka Jepun bermula 14 hingga 19 Julai depan.
Bagi penulis, keputusan untuk memecahkan gandingan adalah perkara biasa, namun ianya agak janggal di Malaysia.
Bagaimanapun, sudah tiba masanya untuk kita lebih berani untuk mencuba kombinasi berbeza memandangkan Indonesia pernah memisahkan gandingan terbaik mereka bagi membentuk beregu baharu dan ia membuahkan hasil.
Ramai menganggap mungkin terlalu awal untuk melakukan ‘rombakan’ tersebut, namun Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei enggan menunggu lama kerana mampu memberikan peluang kepada jurulatih membuat penilaian.
“Kita sudah berbincang dengan jurulatih Rexy (Mainaky) dan Herry (Iman Pierngadi). Kita kena berani tukar pasangan. Kita akan uji beberapa gandingan selepas Terbuka Indonesia, mungkin di Jepun, Korea, Denmark dan Perancis.
“Biasanya ramai menunggu sehingga Januari untuk mencuba pasangan baharu tetapi bagi saya, lebih baik kita mula sekarang. Kita kena tengok gandingan mana yang boleh menyumbang pingat emas pertama Olimpik untuk negara,” katanya.
Selain itu, keputusan sama ada gandingan yang dibentuk akan dikekalkan ataupun tidak, ia terpulang kepada Rexy dan Herry memandangkan kedua-dua jurulatih berkenaan bakal menilai prestasi setiap pemain.
Keputusan yang dibuat BAM boleh dianggap tepat kerana semua pemain, terutamanya dalam acara beregu memerlukan masa bagi mencipta keserasian, lebih-lebih lagi aksi kelayakan Sukan Olimpik akan bermula tahun depan.
Pada masa sama, bekas pemain beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon menjelaskan, beliau tidak terkejut dengan keputusan dilakukan badan induk badminton negara selain menganggap ia tidak menjejaskan skuad.
“Sebenarnya, perkara seperti ini (pecah gandingan) merupakan perkara biasa. Oleh itu, saya tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang mengejutkan dan mungkin boleh membawa manfaat kepada pemain.
“Bagi saya, ia bukanlah sesuatu yang buruk kerana (kelayakan) Olimpik belum bermula, jadi tidak ada perkara terjejas. Saya juga pernah berdepan situasi serupa sebelum ini,” ujarnya.
Kesimpulannya, kita harus memberikan peluang serta ruang kepada pemain-pemain terlibat untuk membentuk gandingan bersama pasangan baharu dan siapa tahu mungkin inilah yang perlu dilakukan bagi membawa pulang pingat emas pertama Olimpik.














