JOHOR BAHRU – Kegiatan dua sindiket penipuan dalam talian yang menjadikan Forest City di Iskandar Puteri sebagai markas operasi akhirnya berkubur selepas polis menahan 335 individu dalam serbuan besar-besaran membabitkan 27 unit apartmen dan lima banglo pada 15 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi bersepadu itu berjaya melumpuhkan dua sindiket ‘calling centre’ yang dipercayai aktif menjalankan penipuan pelaburan mata wang kripto, love scam serta penyamaran sebagai firma guaman dengan menyasarkan mangsa di luar negara.
Menurut beliau, daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 309 adalah warga China, 19 warga Indonesia, empat warga Myanmar dan tiga warga tempatan berusia antara 20 hingga 58 tahun.
Beliau berkata, serbuan turut membongkar pusat operasi lengkap sindiket apabila polis merampas 313 unit komputer, 1,557 telefon bimbit, 17 komputer riba, 10 modem, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-8 serta pelbagai peralatan lain yang dianggarkan bernilai RM1 juta.
“Siasatan mendapati sindiket pertama membabitkan 279 individu yang dipercayai menjalankan penipuan pelaburan mata wang kripto dan love scam dengan menyasarkan mangsa dari China serta Indonesia.
“Mereka menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp dan TikTok untuk mencari mangsa sebelum memperdayakan mereka dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan tetapi sebenarnya tidak wujud,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, individu yang direkrut sindiket itu dipercayai bertindak sebagai ejen mencari pelanggan dan dijanjikan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000 bagi menjalankan kegiatan penipuan tersebut.
Beliau berkata, kumpulan kedua pula melibatkan 56 tangkapan terdiri daripada 54 warga China dan dua warga tempatan yang disyaki menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai firma guaman selain menawarkan pelaburan serta skim mata wang kripto palsu kepada mangsa di luar negara.
Katanya, siasatan turut mendapati sebahagian warga asing yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah menyebabkan mereka turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, sebanyak 23 kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Daripada jumlah itu, 14 kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dengan arahan pertuduhan terhadap 194 orang kena tuduh (OKT), melibatkan 159 individu didakwa hari ini dan baki 35 lagi esok.
Mengulas dakwaan sama ada sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan isu pusat latihan warga asing yang pernah dibangkitkan di Forest City sebelum ini, beliau menegaskan siasatan polis setakat ini tidak menemukan sebarang hubungan antara kedua-dua kes tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis percaya dalang utama sindiket masih bebas dan usaha memburu mereka sedang dipergiatkan termasuk melalui kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki rangkaian jenayah rentas sempadan itu. – KOSMO! ONLINE














