PETALING JAYA – Jenazah Ahmad Shah Ahmad Ros yang maut selepas cedera parah akibat ditikam dalam kejadian di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, kelmarin dijangka dibawa pulang hari ini atau selewatnya esok pagi.
Perkara itu dimaklumkan oleh adik Allahyarham, Ain Sephia Fabian, 25, ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, segala urusan termasuk proses memandikan dan solat jenazah telah selesai dilaksanakan.
Katanya, jenazah Allahyarham kini berada di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan sementara keluarga masih menunggu maklum balas daripada pihak kedutaan berhubung urusan penerbangan pulang.
“Tiket penerbangan dan dokumen berkaitan sedang diselesaikan (pihak kedutaan). Insya-Allah, jadual penerbangan kalau boleh nak segerakan (berlepas pulang ke Malaysia) sama ada malam ini atau awal pagi esok,” ujarnya.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor.
Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam kejadian di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.
Mangsa berusia 26 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian ketika dipercayai cuba membantu rakan yang diserang sekumpulan individu.
Susulan kejadian itu, polis Korea Selatan menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














