PORT DICKSON – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bermula hari ini, melibatkan seramai 22,339 anggota tentera dan polis bersama pasangan masing-masing.
Daripada jumlah itu, sebanyak 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan layak mengundi pada PRN kali ini
Kesemua 38 pusat mengundi awal dibuka serentak pada pukul 8 pagi dan akan ditutup secara berperingkat mengikut lokasi.
Sebanyak 18 pusat mengundi awal akan ditutup pada pukul 12 tengah hari, dua pusat mengundi pada pukul 2 petang, manakala baki 18 lagi ditutup pada pukul 5 petang.
Antara lokasi pusat pengundian awal ialah Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, Pangkalan Udara Sendayan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dan Kem Tentera Syed Sirajuddin, Gemas, di Tampin
Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon. – KOSMO! ONLINE














