BERA – Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM21,502 dan menyita wang tunai berjumlah RM97,000 dipercayai hasil jualan dadah susulan penangkapan seorang seorang lelaki di tepi jalan Felda Tembangau 1, Kemayan, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah kira-kira pukul 1 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat polis Daerah (IPS) Bera.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang menunggang motosikal jenis Honda menjumpai dadah disyaki syabu seberat 367.55 gram, pil erimin 5 (27.10 gram) dan ganja (138.17 gram) yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM21,502.
“Polis turut menyita wang tunai RM97,000 yang disimpan di bawah katil yang dipercayai hasil jualan dadah serta sebuah motosikal jenis Kawasaki dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zulkiflee, suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.
Tambah beliau, semakan turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah. – KOSMO! ONLINE














