fbpx
MASIH mengekalkan Nas-T sebagai Borhan, Keluang Man versi drama bersiri dijangka lebih banyak konflik dan realistik berbanding versi filem.

Keluang Man versi drama, watak Tiong Man masih rahsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KESINAMBUNGAN kisah Borhan dan adiwira Keluang Man diteruskan menerusi drama bersiri tujuh episod yang kini sedang dalam penggambaran.

Masih mengekalkan pelakon asalnya iaitu Nas-T sebagai watak utama, kali ini drama terbitan Astro Shaw di bawah siri premium Astro Originals itu akan diarahkan Zahir Omar dan Syahmi Norsan.

Superhero original pertama Malaysia tersebut juga melangkah ke fasa baharu dengan skala penceritaan yang lebih besar.

Penulis skrip, Anwari Ashraf, Keluang Man The Series akan memberikan sesuatu yang berbeza buat penonton dengan menjadikan penceritaan kali ini lebih ‘dark’.

“Semuanya adalah disebabkan kesinambungan daripada versi filem. Selepas apa yang terjadi kepada Borhan di dalam filem, dia tidak pulang semula ke hospital dan pilih untuk hidup menyendiri.

“Perjalanan siri ini akan mengikuti keadaan mental watak Borhan. Mungkin lebih serius berbanding filem dan lebih realistik. Tetapi elemen humor tetap diselitkan,” katanya.

Ditanya tentang cabaran untuk penghasilan versi drama bersiri, Anwari meletakkan durasi sebagai cabaran paling utama.

“Dalam filem kita hanya ada dua jam. Untuk drama bersiri ini kita ada tujuh episod. Setiap episod akan bersiaran selama satu jam.

“Banyak babak yang perlu kita hasilkan untuk memastikan mencukupi durasi setiap episod.

“Kalau versi filem saya boleh ibarat kepada sprint, untuk drama versi adalah maraton,” jelasnya.

Bercerita mengenai watak-watak dalam drama bersiri, ramai yang menantikan siapakah aktor yang akan menggalas watak ‘side kick’ kepada Keluang Man iaitu Tiong Man.

Ditanya adakah watak itu wujud di dalam drama bersiri ini? Kata Anwari ada beberapa perkara yang akan menjadi elemen kejutan.

“Tidak dinafikan ramai yang ingin tahu siapa akan menjadi Tiong Man. Apa yang boleh saya katakan, Tiong Man pasti akan muncul jua satu hari nanti.

“Cuma buat masa ini, ada beberapa perkara yang kita masih simpan sebagai elemen kejutan. Ada perkara yang kita akan kongsikan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Topeng watak

Sementara itu bagi pemeran utama watak Borhan dan Keluang Man, Nas-T, mengakui teruja untuk kembali menyarung sut dan topeng watak ikonik tersebut.

“Gembira dapat kembali beraksi selepas berehat panjang. Namun kali ini cabarannya lebih hebat. Biarpun tempoh penggambaran lebih kurang sama dengan filem iaitu tiga bulan, tetapi untuk drama bersiri memerlukan lebih banyak babak.

“Kalau untuk filem mungkin babak aksi mengambil masa lima hari untuk disiapkan. Tetapi untuk drama bersiri, dua hari sahaja dan pelakon lakukan sendiri babak aksi.

“Saya juga terpaksa memakai sut Keluang Man dalam jangka masa yang lama. Memang berpeluh-peluh. Jadi memang agak ‘barai’,” kongsinya.

Selain berhadapan cabaran di set penggambaran, Nas juga mengambil masa tiga bulan untuk mempersiapkan bentuk fizikalnya demi menggalas watak Keluang Man.

“Sebelum terlibat dengan siri ini, saya terbabit dengan filem Takluk 2 di mana saya membawa watak komando. Dalam filem itu saya perlu naikkan berat badan.

“Untuk drama bersiri ini, saya diminta untuk turunkan berat badan supaya kelihatan lebih fit dan lean. Mereka mahu wajah saya kelihatan cengkung,” jelasnya.

Keluang Man The Series yang dijadualkan tayangan tahun hadapan turut menampilkan beberapa muka baharu seperti Harissa Adlynn, Trisha Ooi, Azhar Sulaiman dan Rusdi Ramli.

Menggantikan posisi Amelia Henderson sebagai wartawan dalam versi filem, aktres yang semakin meningkat naik, Harissa Adlynn juga teruja terlibat dalam versi drama Keluang Man.

“Saya sangat teruja tetapi dalam masa yang sama, sedikit tertekan kerana saya menggantikan karakter yang pernah dilakonkan Amelia. Dia pelakon yang sangat hebat.

“Tetapi saya anggap tawaran ini sebagai satu peluang dan cabaran untuk saya. Saya harap penonton dapat terima watak Kathy Ismail versi saya,” katanya.

Keluang Man The Series turut dibintangi Shweta Sekhon sebagai Dr Malini dan Anwaar Beg Moghal sebagai Inspektor Shahaab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN