fbpx
Para penerima anugerah diraikan bersempena Malam Penghargaan Sekuriti Swasta 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PIKM mahu ubah persepsi masyarakat terhadap pengawal keselamatan yang bukan pilihan kerjaya terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Industri ke­selamatan swasta di negara ini perlu diberikan pengiktirafan sewajarnya sebagai satu profesion yang memainkan peranan pen­ting dalam menjaga keselamatan aset, premis dan masyarakat, sekali gus mengubah persepsi bahawa kerjaya sebagai penga­wal keselamatan hanyalah pilihan terakhir.

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Mejar (K) Datuk Muhammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata, usaha memartabatkan profesion itu perlu diperkasakan agar masyarakat melihat kerjaya pengawal keselamatan sebagai pekerjaan yang mempunyai masa depan, stabil dan penuh nilai.

“Kami mahu mengangkat martabat industri keselamatan ke tahap yang lebih baik supaya lebih dihargai masyarakat.

“Masih ramai yang menganggap kerjaya pengawal keselamatan sebagai pilihan terakhir atau kurang bermaruah, sedangkan hakikatnya ia adalah satu profesion yang mulia kerana mereka menjaga keselamatan orang ramai serta aset negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Malam Penghargaan Sekuriti Swasta 2026 di bertemakan Wira 24/7 di sini baru-baru ini.

Selain itu, Naib Presiden PIKM, Aini Suraya Osman menjelaskan, industri keselamatan kini menawarkan peluang kerjaya yang baik khususnya kepada golongan berusia yang masih ingin kekal aktif dalam pasaran pekerjaan.

Menurut beliau, kerjaya sebagai pengawal keselamatan bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang stabil, malah mempunyai laluan pembangunan kerjaya yang jelas.

“Kami melihat daripada aspek pembangunan kerjaya, industri ini membuka lebih banyak peluang kepada golongan berusia yang masih mencari pekerjaan.

“Kerjaya ini mampu menjamin masa depan serta menawarkan pendapatan yang baik,” katanya.
Aini Suraya berkata, majoriti pengawal keselamatan di Malaysia terdiri daripada bekas anggota tentera yang membawa bersama pengalaman, disiplin dan kemahiran tinggi dalam me­laksanakan tugas menjaga ke­selamatan.

Sementara itu, Muhammad Ubaidillah berharap, kerajaan dapat mempertimbangkan supaya Malam Penghargaan Sekuriti Swasta diiktiraf sebagai acara rasmi tahunan negara sebagai tanda penghormatan kepada sumbangan warga industri yang bertugas 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Menurutnya, PIKM juga komited untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi memperkukuhkan industri melalui peningkatan standard perkhidmatan, pembangunan modal insan serta penguatkuasaan terhadap syarikat keselamatan yang beroperasi secara tidak sah.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Ubaidillah turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak beberapa fi dan lesen yang disifatkan boleh memberi kesan besar kepada kelangsungan industri.

Katanya, persaingan harga yang terlalu agresif dalam kalangan syarikat keselamatan sudah pun memberi tekanan kepada pemain industri, manakala kenaikan pelbagai fi hanya akan menambahkan lagi beban operasi.

“Persaingan harga yang terlalu agresif memberi tekanan kepada industri dan akhirnya akan memberi kesan kepada kualiti perkhidmatan serta kebajikan pengawal keselamatan.

“Kami juga memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula kenaikan fi lesen syarikat keselamatan dan fi cawangan kerana ia dijangka memberi kesan kepada kos operasi, terutama syarikat bersaiz kecil,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu kenaikan fi senjata api di bawah Peraturan-Peraturan Senjata mengikut Akta Senjata 1960 yang meningkat antara 100 hingga 900 peratus, sekali gus menambah beban kewangan syarikat keselamatan.

“Sejak sekian lama industri ini berhadapan dengan persaingan harga yang tidak sihat, yang mana terdapat syarikat menawarkan kadar perkhidmatan yang terlalu rendah sehingga menjejaskan keupayaan syarikat untuk memenuhi obligasi kewangan dan perundangan, termasuk pembayaran gaji mengikut Perintah Gaji Minimum, caruman KWSP, PERKESO, EIS, levi pekerja asing, latihan, insurans serta pematuhan kepada syarat-syarat pelesenan KDN.”

“Amalan persaingan harga yang melampau akhirnya memberi kesan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan, kebajikan pengawal keselamatan serta imej industri secara keseluruhannya.”

Menurutnya lagi, cadangan penetapan harga lantai bukan bertujuan meningkatkan keuntungan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan setiap syarikat beroperasi berdasarkan kos sebenar penyediaan perkhidmatan yang mematuhi undang-undang serta standard industri. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN