fbpx
Ketua Eksekutif MiDAS, Laksamana Muda Datuk Yusne Mohd Mokhtar bergambar bersama wakil agensi dan komuniti Pulau Banggi sempena Program Jelajah Cakna Pertahanan yang bermula Rabu lalu.

Kerjasama MINDEF, komuniti Pulau Banggi kukuhkan keselamatan sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil langkah proaktif bagi memper­kukuh keselamatan dan kedaulatan sempadan dengan menjalinkan ker­jasama erat dengan penduduk Pulau Banggi, Sabah.

Usaha itu dilaksanakan menerusi Program Jelajah Cakna Pertahanan anjuran yang berlangsung dari 22 hingga 24 Julai lalu.

Siri jelajah itu diketuai Ketua Eksekutif MiDAS, Laksamana Muda Da­­tuk Yusne Mohd. Mokhtar dan pro­gram itu memberi tumpuan ke­­pada usaha membina jaringan hu­bungan, kepercayaan dan kerjasama antara institusi pertahanan, agensi awam serta masyarakat setempat.

Menurut Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, Kasun Ugan, pihaknya menyambut baik program yang dilaksanakan MINDEF di pulau berkenaan terutamanya dalam memperkukuhkan keselamatan kawasan sekitar.

Beliau berkata dengan kehadi­ran pasukan keselamatan serta program yang dilaksanakan bersama komuniti, ia membuka kerjasama yang lebih luas antara agensi keselamatan dan komuniti setempat.

“Bagi saya program ini sangat bermanfaat apabila komuniti setempat dapat bersama-sama pasukan keselamatan menjalankan pro­gram bersama.

“Melalui jalinan kerjasama seper­tinya, saya yakin keselamatan pu­­lau ini lebih terjamin pada masa ha­dapan. Saya juga berharap agar program seperti ini dapat te­rus di­laksanakan pada masa akan da­tang,” ujarnya.

Bagi komuniti sekolah pula, pro­­gram seumpama itu dapat memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar untuk melindungi pulau berkenaan dari sebarang ana­­sir yang mampu meng­gugat ke­se­la­ma­tan kawasan terbabit.

Yusne bergambar bersama murid SK Lok Tohog semasa menghadiri Program Misi Cilik: Sayangi Negara di sekolah berkenaan.

Ini kerana kata Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Ke­bangsaan (SMK) Banggi, Madrouf Said, menerusi program seperti itu, pihak berkuasa dapat menyalurkan info dan apa yang perlu dilakukan untuk menjaga pulau itu.

“Sebagai pentadbir di sekolah di pulau ini, saya sangat berterima kasih kepada pihak MINDEF kerana dapat menganjurkan program se­perti ini.

“Apa yang penting adalah pelajar dapat didedahkan dengan info atau maklumat tentang bentuk ancaman keselamatan supaya mereka dapat membantu sekiranya terdapat ancaman di pulau ini,” katanya.

Bagaimanapun kata guru ter­babit, sejak lebih 10 tahun lalu tidak ada lagi ancaman berbahaya ter­masuk serangan lanun selepas pihak berkuasa menempatkan pos-pos keselamatan di sekitar pulau berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Banggi, Jasleen Jaafar menyifatkan program Jelajah terbabit adalah platform terbaik agensi kerajaan untuk berkongsi idea, cadangan dan pandangan ber­sama komuniti.

“Melalui jelajah ini, masyarakat di sini boleh menyalurkan terus pandangan dan info kepada pihak kera­jaan. Bukan sahaja isu keselamatan tetapi pelbagai isu setempat yang lain.

“Justeru, saya mohon pihak MiDAS dan MINDEF dapat meneruskan program jelajah seperti ini pada masa akan datang demi manfaat bersama di Pulau Banggi ini,” kata­nya.

Dalam pada itu, MINDEF dalam satu kenyataan memberitahu, Pulau Banggi dipilih kerana kedudukannya yang strategik sebagai pulau terbesar di Malaysia selain terletak di perbatasan paling utara Sabah berhampiran perairan dan sempadan maritim Filipina.

“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh literasi pertahanan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di kawasan yang mempunyai nilai geostrategik penting dalam landskap keselamatan negara,” katanya.

Antara pengisian utama ialah sesi townhall bertemakan ‘Kedaulatan Pulau Banggi: Memperkasa Komuniti Sempadan, Memperta­han Kedaulatan Negara’ yang menjadi platform dialog dua hala antara kerajaan, agensi keselamatan dan penduduk.

Sesi itu turut membincangkan isu keselamatan setempat selain memperkukuh kerjasama menerusi pendekatan Whole of Government and Whole of Society (WoGoS).

Selain itu, Program Bicara Pertahanan bertemakan ‘Bicara Pertahanan Bermula dari Rumah’ turut diadakan dengan penyertaan 290 ibu bapa dan pelajar SMK Banggi bagi membina kesedaran mengenai tanggungjawab keselamatan bermula dari rumah.

Bagi mendekati generasi muda pula, Program Misi Cilik: Sayangi Negara membabitkan 100 murid berusia antara lima hingga 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Tohog turut diadakan.

Jelajah berkenaan diakhiri dengan tayangan khas filem patriotik PASKAL kepada pelajar SMK Banggi dan masyarakat setempat.

Menurut MINDEF, menerusi program itu ia bukan sahaja merea­lisasikan kerangka WoGoS, malah memperkukuh elemen Kerjasama Awam Tentera (CIMIC) serta selari dengan hala tuju strategik negara menerusi Kertas Putih Pertahanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN