SELEPAS menakluk gelaran dunia interim strawweight Muay Thai ONE Championship, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib kini mengintai mahkota sebenar apabila bersedia menguji kehebatan juara dunia, Prajanchai PK Saenchai dalam aksi penyatuan gelaran tidak lama lagi.
Jaguh negara itu mencipta sejarah apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, pada ONE Fight Night di Stadium Lumpinee, Bangkok, sekali gus muncul rakyat Malaysia pertama meraih gelaran dunia interim dalam divisyen tersebut.
Lebih manis, kemenangan ke atas bekas juara dunia tiga kali ONE Championship itu mengesahkan status Aliff sebagai antara pencabar sebenar dalam divisyen berkenaan selepas melakar enam kemenangan berturut-turut.
Aliff yang dipanggil ke tengah gelanggang untuk sesi ‘face-off’ bersama Prajanchai bersedia untuk berdepan jaguh Thailand tersebut bagi menentukan juara sebenar strawweight.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang hari ini. Sebelum ini saya dah janji nak bawa pulang tali pinggang ini ke Malaysia.
“Apa pun, saya gembira dia berada di sini bersama saya sekarang dan saya berharap ‘face-off’ ini bermakna anda (Prajanchai) adalah lawan saya yang seterusnya,” kata Aliff.
Prajanchai turut menyambut cabaran itu dan mengakui sudah lama menantikan peluang untuk berkongsi gelanggang dengan Aliff.
“Saya berasa sangat gembira. Saya harap kali ini akhirnya saya dapat bertemu dengannya tidak lama lagi,” kata juara dunia strawweight Muay Thai itu.
Berdasarkan perancangan ONE Championship, Aliff dijangka menentang Prajanchai dalam aksi penyatuan gelaran sebaik kedua-dua petarung berada pada tahap kecergasan terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaan.
Sebagai rekod, kejayaan menewaskan Sam-A bukan sekadar menghadiahkan Aliff gelaran dunia interim, malah mengukuhkan rekod cemerlangnya dengan enam kemenangan berturut-turut dalam ONE Championship sejak Ogos 2024.
Sepanjang tempoh itu, Aliff menewaskan Zakaria El Jamari menerusi knockout (KO) pada pusingan pertama, Walter Goncalves (keputusan sebulat suara), Shamil Adukhov (KO, pusingan pertama), Elmehdi El Jamari (keputusan sebulat suara), Ramadan Ondash (keputusan sebulat suara) sebelum menumbangkan Sam-A menerusi KO pada pusingan kelima.














