PETALING JAYA – Bintang muay thai dunia, Rodtang Jitmuangnon akhirnya ‘buka mulut’ mengenai kemelut kontrak dengan ONE Championship apabila mengakui terkejut dengan tindakan undang-undang yang dikenakan ke atasnya.
Juara dunia itu menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang sukar diterima, apatah lagi selepas hubungan rapat yang terjalin dengan organisasi berkenaan sebelum ini.
“Mereka kata kami seperti adik-beradik, tetapi sekarang mereka mahu menyaman saya. Mengapa saya perlu melalui semua ini?” katanya.
Menurut Rodtang, isu berkenaan turut menimbulkan persoalan besar buat dirinya, khususnya dari aspek keadilan dalam pengurusan kontrak yang dimeterai.
“Saya tandatangan kontrak itu pada 2022, tetapi hanya dapat melihat semula dokumen tersebut pada November 2025. Tambahan pula, saya tidak boleh membaca Bahasa Inggeris,” jelasnya.
Dalam masa sama, ONE mengesahkan tindakan undang-undang terhadap atlet itu sedang dijalankan di tiga negara iaitu Singapura, Jepun dan Thailand susulan dakwaan pelanggaran kontrak.
Menurut kenyataan rasmi, tindakan tersebut diambil selepas Rodtang didakwa gagal memenuhi beberapa komitmen yang dipersetujui, selain kebimbangan terhadap kenyataan yang berpotensi menimbulkan salah faham atau berunsur fitnah.
“ONE komited terhadap ketelusan kepada peminat, atlet dan rakan strategik. Tindakan ini dibuat selepas beberapa kegagalan memenuhi komitmen kontrak,” menurut kenyataan itu.
Situasi tersebut sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan Rodtang, terutama menjelang pertarungan ulangan menentang Takeru Segawa bagi merebut gelaran interim flyweight kickboxing di Tokyo pada 29 April ini. KOSMO! ONLINE














