KOTA BHARU – Hajat seorang lelaki yang bakal melangsungkan perkahwinan awal tahun depan untuk mengutip hutang sebanyak RM100 yang dipinjam rakannya tidak kesampaian apabila dia dicekup semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Persimpangan Sri Cemerlang di sini semalam.
Lelaki berusia 23 itu ditahan kira-kira pukul 6 petang selepas motosikal jenis Yamaha Y15 yang dia tunggang didapati sudah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi.
Katanya, dia ketika itu sedang dalam perjalanan dari Tumpat ke rumah rakannya untuk mengutip hutang di dalam kawasan bandar Kota Bharu.
“Saya cuba elak daripada SJR polis kerana tahu motosikal terpakai yang baru dibeli sebulan lalu sudah banyak diubah suai oleh pemilik asal.
“Saya beli motosikal ini pada harga RM5,700. Saya juga sedang dalam perjalanan untuk mengutip hutang daripada rakan dan wang tersebut akan digunakan untuk membeli alat ganti asal motosikal ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di SJR Persimpangan Sri Cemerlang di sini semalam.
Menurutnya, dia kini buntu untuk mencari wang bagi untuk menjelaskan saman bagi membolehkan motosikalnya yang disita dilepaskan oleh pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, sebanyak 341 saman dikeluarkan oleh pihak polis, JAS dan Jabatan Pengangkutan Jalan dalam operasi itu. – KOSMO! ONLINE














