SHAH ALAM – Penuh kejutan, Anggrek bersama pengurusnya Adira Suhaimi dan Azeva dengan pengurusnya Datuk A. Aida diumumkan selamat daripada disingkirkan pada konsert minggu ketujuh Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) hari ini.
Bertemakan Tergamaknya Kau (lagu pilihan juri), persembahan Anggrek yang mendendangkan lagu Golden dan Azeva menerusi lagu Sial meraih markah terendah pada minggu ini.
Namun, mereka berjaya diselamatkan Golden Card dan Anugerah Imuniti Kasih oleh Eskayvie oleh juri serta penganjur.
Sementara, seorang lagi peserta iaitu Kim Khairi dengan pengurusnya, Safura turut berada di kedudukan terendah.
Dalam pada itu, Anugerah Manager Paling Perform minggu ini pula masih kekal menjadi milik Jamilulhayat iaitu pengurus kepada Hussain selama dua minggu berturut-turut hasil undian orang ramai menerusi laman web rasmi.
Cik B dan pengurusnya, Datuk Seri Vida pula menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie minggu keempat sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 bersama hamper.
Namun, dia memilih untuk membahagikan hadiah secara sama rata tersebut kepada Safura dan Jamilulhayat.
Perjuangan minggu suku akhir TTMM2 pada minggu depan dengan tema Malam Ini Ku Ingin Jatuh Cinta akan diteruskan oleh tujuh peserta yang kekal dalam pertandingan.
TTMM2 dihoskan Datuk Aznil Nawawi sementara barisan juri pula terdiri daripada Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal.
Kerusi juri jemputan minggu keenam TTMM2 pula diisi penyanyi Puan Seri Tiara Jacquelina. – KOSMO! ONLINE














