GEORGE TOWN – Kematian seorang pekerja binaan warga Myanmar yang ditemukan dalam kebakaran sebuah premis hiburan di Jalan Penang di sini, malam semalam disahkan akibat terhidu asap tebal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa, Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Punca kematian si mati adalah akibat terhidu asap,” katanya di sini, malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di ruang tingkat bawah berhampiran pintu masuk hadapan premis berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kesan lecur tahap satu pada tubuh badan.
Menurutnya, beberapa sampel bahan bukti turut diambil di lokasi kejadian dan akan dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca kebakaran. – KOSMO! ONLINE














