JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas gagal mempertahankan pingat emas, namun tetap menghadiahkan pingat pertama kontinjen negara menerusi gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Bonnie yang turun selaku juara bertahan hanya dipisahkan 0.4 kilogram daripada emas selepas melakukan angkatan 153.5kg dalam kategori lightweight lelaki.
Pingat emas menjadi milik atlet England, Mark Swan dengan angkatan 153.9kg, manakala atlet Nigeria, Roland Ezuruike turut mencatat 153.9kg untuk meraih perak.
Bonnie yang baru pulih daripada kecederaan di bahagian kiri dada mengakui kecewa kerana tidak dapat mengulangi kejayaan di Birmingham 2022, namun tetap bersyukur dengan pencapaiannya kali ini.
“Ya, saya memang amat kecewa tidak dapat pertahankan pingat emas untuk Malaysia. Saya minta maaf banyak-banyak,” kata Bonnie kepada Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Bagaimanapun, juara Paralimpik itu tetap berpuas hati dengan persembahannya selepas memberikan segala yang termampu di platform pertandingan.
“Saya berpuas hati dengan persembahan saya hari ini. Saya terima pingat ketiga dan memang berpuas hati,” katanya.
Sementara itu, jurulatih negara, Mohammad Shahibullah Ambi, menyifatkan Bonnie sudah memberikan aksi terbaik walaupun percubaan terakhir untuk memburu emas tidak berhasil.
“Keputusan hari ini kita terima. Angkatan ketiga tadi kita cuba buat yang terbaik untuk kejar angkatan bagi mendapat tempat pertama, tapi bukan rezeki. Alhamdulillah dia dah buat yang terbaik,” katanya.
Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, gangsa yang diraih Bonnie tetap menghadiahkan pingat sulung buat Malaysia di Glasgow 2026.
Selepas ini, Bonnie mahu melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung pada 18 hingga 24 Oktober nanti.














