SETELAH menjelajah hampir 40 buah negara di seluruh pelosok dunia, Patagonia merupakan destinasi paling menakjubkan yang pernah saya jejaki.
Terletak di benua Amerika Selatan, Patagonia merupakan kawasan gurun dan banjaran gunung gergasi yang berkongsi wilayah antara dua buah negara iaitu Argentina dan Chile.
Sekiranya sebelum ini negara seperti Pakistan, India, China, Switzerland, Jepun dan Kyrgyzstan menjadi pilihan popular rakyat Malaysia untuk menikmati panorama banjaran gunung, kini sudah tiba masanya pengembara tempatan meletakkan Patagonia dalam senarai bucket list yang wajib dilawati sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Perjalanan ke Amerika Selatan merupakan antara trip paling mahal sepanjang pengembaraan saya, terutamanya disebabkan kos tiket penerbangan.
Penerbangan ke Argentina merupakan antara perjalanan kapal terbang paling panjang yang pernah saya tempuh sepanjang pengembaraan yang dilakukan.
Laluan penerbangan yang saya ambil bermula dari Sao Paulo, Brazil, terus ke Buenos Aires, Argentina, sebelum mendarat di El Calafate, Argentina.
Menariknya, warganegara Malaysia tidak memerlukan visa pelancongan untuk masuk ke negara-negara di Amerika Selatan ini.

Bagi menerokai keindahan sebenar Patagonia, pengembaraan diteruskan secara road trip dari El Calafate, Argentina hingga ke Taman Negara Torres del Paine, Chile.
Kami menyewa kereta daripada syarikat tempatan, Laliza, di Lapangan Terbang El Calafate dengan kadar sewa jauh lebih murah berbanding syarikat antarabangsa.
Kami turut menambah perlindungan insurans cermin hadapan (windscreen), satu langkah yang sangat digalakkan kerana tiupan angin kencang di Patagonia boleh menerbangkan batu-batu kecil di jalan raya.
Bagi yang merancang untuk membawa kereta sewa merentas sempadan Argentina-Chile, permohonan Permit Rentas Sempadan berharga AS$100 (RM400) adalah wajib dan perlu dipohon sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu sebelum berlepas.
Pengembaraan kami pada pertengahan Mei bertepatan dengan musim luruh.
Suhu purata sekitar bawah 10 darjah Celsius amat selesa, namun angin di Patagonia sangat kencang sehingga suhu boleh dirasai seolah-olah 0°C hingga 5°C.
Oleh itu, pemakaian thermal wear dan winter jacket kalis angin amat penting.

Kelebihan berkunjung pada musim luruh adalah peluang menyaksikan kepelbagaian warna daun pokok di dalam taman negara yang sungguh memukau.
Dari segi keselamatan, Patagonia sangat selamat dan penduduk tempatannya juga mesra.
Patagonia merupakan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang sangat rendah di Argentina.
Malah, di sesetengah laluan, kita akan terserempak dengan sebuah kereta sahaja dalam tempoh 20 minit pemanduan.
Kos penginapan sepanjang pengembaraan di Patagonia juga tidak terlalu mahal dan boleh ditempah secara dalam talian.
Sepanjang pengembaraan saya di Patagonia, saya memilih untuk memasak kerana ketiadaan restoran dan makanan halal yang dijual di sana.
Bekalan barangan dapur digalakkan dibeli di pasar raya El Calafate, Argentina, sebelum bergerak ke pekan El Chaltén, Argentina yang mempunyai bekalan terhad.
Di samping itu, membawa bekalan bahan basah seperti daging, sayur-sayuran dan buah-buahan ketika ingin merentas sempadan ke Chile adalah dilarang sama sekali kerana pihak Kastam Chile akan membuat pemeriksaan ketat terhadap barang tersebut.
Sebelum sampai di Taman Negara Torres del Paine, Chile, bekalan barang mentah boleh dibeli di pekan Puerto Natales, Chile.
Akhir sekali, perancangan mengisi minyak petrol di lokasi yang akan dilalui sepanjang road trip ini perlu disusun dengan baik.
Ini kerana stesen minyak sangat sukar dijumpai di kawasan yang dilalui.














