fbpx
ARGENTINA mempamerkan aksi paling hambar sepanjang kempen kali ini apabila hanya mampu melakukan tiga percubaan ketika tewas kepada Sepanyol pagi semalam. - AFP

Piala Dunia 2026: Scaloni nilai semula masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW YORK – Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menjelaskan, beliau memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan sama ada untuk terus mengemudi pasukan itu ataupun tidak sebaik sahaja kontrak tamat penghujung tahun ini.

Masa depan pengendali berusia 48 tahun itu mula menjadi persoalan apabila skuad La Albiceleste gagal untuk mempertahankan gelaran selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol pada aksi final Piala Dunia 2026 di Stadium New York awal pagi semalam.

Selepas membantu Argentina menjadi juara Piala Dunia 2022 selain memenangi dua Copa America pada 2021 dan 2024, Scaloni akhirnya mula mencongak mengenai masa depannya bersama juara tiga kali Piala Dunia itu.

Scaloni berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa perkara, termasuk mengenai kontrak baharu.

“Saya akan bercakap dengan presiden AFA selepas ini, tetapi saya sudah ada idea mengenai apa yang perlu dilakukan. Saya akan hormati kontrak sedia ada dan selepas itu kita tengok apa yang berlaku.

“Secara jujur, saya memerlukan masa untuk berfikir, tetapi saya tetap gembira kerana AFA memberikan peluang dan kepercayaan. Saya yakin setiap jurulatih pasti ada impian untuk berada di posisi ini,” katanya.

Pada aksi final awal pagi semalam, Argentina gagal mempamerkan prestasi sebenar apabila membenarkan Sepanyol menguasai sepenuhnya perlawanan sebelum meledak gol kemenangan menerusi Ferran Torres pada minit ke-106.

Lebih parah, Argentina hanya melakukan tiga percubaan sepanjang 120 minit permainan berbanding 20 dilakukan Sepanyol selain menyaksikan kapten, Lionel Messi gagal mempamerkan magis apabila ‘dirantai’ pemain lawan.

Scaloni tanpa berselindung mengakui beliau tidak menjangka Sepanyol akan mendominasi perlawanan, namun menerima hakikat bahawa La Roja merupakan pasukan lebih baik berbanding Argentina.

“Memang kami sedih dan kecewa tetapi semua pemain sudah memberikan segala-galanya. Secara jujur, Sepanyol bermain lebih baik berbanding kami dan kami perlu menerima kekalahan ini dengan hati terbuka,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN