fbpx
PENGANJURAN Piala Dunia kali ini dilihat paling menguntungkan buat FIFA ekoran pertambahan jumlah perlawanan susulan peningkatan jumlah pasukan yang beraksi. - AFP

Piala Dunia 2026: FIFA raih pendapatan luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW YORK – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) diunjurkan meraih pendapatan mencecah AS$15 bilion (RM61.4 bilion) hasil penganjuran Piala Dunia 2026 sekali gus jauh mengatasi jangkaan awal sebanyak AS$11 bilion (RM45 bilion).

Laporan mendedahkan Presiden FIFA, Gianni Infantino telah memaklumkan angka tersebut kepada semua ahli gabungan menjelang aksi final kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Peningkatan ketara itu didorong hasil kutipan jualan tiket serta pakej hospitaliti yang mendapat sambutan luar biasa sepanjang kejohanan terbesar dalam sejarah Piala Dunia itu.

FIFA turut meraih keuntungan tambahan apabila tidak menetapkan had harga jualan semula tiket di platform rasmi, selain mengenakan caj komisen sebanyak 15 peratus kepada penjual dan pembeli bagi setiap transaksi.

Edisi kali ini menyaksikan Piala Dunia diperluaskan kepada 48 pasukan berbanding 32 sebelum ini, sekali gus meningkatkan jumlah perlawanan daripada 64 kepada 104 aksi.

Pertambahan jumlah pasukan dan perlawanan secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan menerusi penjualan tiket, hak komersial serta aktiviti hospitaliti di setiap lokasi.

Sebagai perbandingan, FIFA merekodkan pendapatan sebanyak AS$5.769 bilion (RM23.6 bilion) sepanjang Piala Dunia 2022 di Qatar, sekali gus menjadikan edisi 2026 sebagai kejohanan paling menguntungkan dalam sejarah badan induk bola sepak dunia itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN