KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed atas pelantikan semula sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Nur Jazlan dan Senator Musoddak Ahmad yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi menyambung perkhidmatan mereka.
“Saya ingin memulakan dengan mengucapkan tahniah kepada Timbalan Yang Dipertua serta Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Negara yang baharu dilantik dan yang disambung perkhidmatan,” katanya sebelum sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Nur Jazlan dan Musoddak mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Dalam perkembangan sama, Anwar sempat mencuit perhatian Dewan Negara apabila berseloroh mengenai kemenangan Sepanyol pada final Piala Dunia 2026.
“Saya juga penyokong tegar Sepanyol,” katanya ringkas.
Sepanyol muncul juara dunia buat kali kedua selepas menewaskan juara bertahan, Argentina 1-0 menerusi jaringan Ferran Torres pada minit ke-106 di Stadium MetLife, East Rutherford, New York.
Argentina menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Enzo Fernandez dilayangkan kad merah. – KOSMO! ONLINE














