SEBERANG PERAI – Inisiatif Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week, NTW) 2026 disifatkan sebagai platform penting yang membuka ruang dan peluang kepada seluruh rakyat Malaysia terutama anak muda untuk meningkatkan kemahiran serta membina masa depan lebih baik.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, NTW bukan sekadar program latihan, sebaliknya peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk terus berkembang seiring perubahan dunia pekerjaan.
Menurutnya, budaya pembelajaran sepanjang hayat perlu diterapkan kerana peningkatan kemahiran adalah keperluan dalam menghadapi cabaran semasa.
“NTW ini sangat dekat dengan hati saya. NTW hakikatnya adalah peluang. Peluang kepada anak muda, pekerja, peluang kepada suri rumah, pesara dan peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu membina masa depan yang lebih baik.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak NTW 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di UiTM Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Azman Mohd. Yusof; serta Pengerusi Lembaga Pengarah Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Datuk Rusli Jaafar bersama Ketua Eksekutifnya, Datuk Shamir Aziz.
NTW yang memasuki tahun keempat penganjurannya membuktikan komitmen HRD Corp bersama Kesuma dalam menjadikan pembelajaran sebagai budaya hidup rakyat Malaysia.
Bertemakan ‘Pelajari. Alami. Kuasai.’ (Learn. Grow. Elevate.), NTW 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 26 Julai menyediakan akses percuma kepada ribuan peluang latihan dan pembangunan kemahiran untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, latar belakang mahupun lokasi.
Sehingga 24 Julai 2026, ia telah merekodkan 8,682 kursus yang ditawarkan oleh 1,619 penyedia kursus, dengan 674,818 penyertaan direkodkan di seluruh negara.

Penyertaan dalam NTW 2026 turut mencerminkan sifat inklusif inisiatif ini apabila merekodkan peserta termuda berusia tiga tahun, manakala peserta paling berusia ialah 89 tahun, membuktikan bahawa pembelajaran sepanjang hayat sememangnya terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Majlis Kemuncak NTW 2026 yang berlangsung selama dua hari di sini menampilkan pameran interaktif, demonstrasi teknologi, bengkel kemahiran, aktiviti pembelajaran serta penyertaan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakan industri yang bersama-sama menyokong agenda pembangunan modal insan negara.
Kemuncak penganjuran juga menyaksikan pelepasan larian Learn-A-Thon di lokasi sama yang melibatkan penyertaan seramai 3,500 peserta.
Menurut Ramanan, aset yang paling penting dan utama bagi sesebuah negara bukanlah sumber asli, tetapi sumber manusianya.
“Jika Malaysia ingin mencapai kejayaan yang lebih besar dan terus mencipta kemakmuran untuk rakyatnya, negara perlu proaktif untuk memastikan rakyat sentiasa berpeluang meningkatkan kualiti kemahiran yang dimiliki serta didedahkan kepada kemahiran baharu agar terus relevan dalam ekonomi semasa dan masa depan.
“Bagi memastikan usaha seperti ini dapat dikendalikan dengan baik, kita memerlukan institusi yang amanah, kukuh dan mempunyai kepakaran dalam pembangunan bakat negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen KESUMA untuk terus mendekati rakyat dalam memastikan lebih ramai mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan modal insan.
“Kami akan terus turun padang, terus mendengar dan merasai denyut nadi rakyat serta terus bekerja untuk anda semua. Kami akan sentiasa berusaha untuk membuka lebih banyak peluang kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Menteri Sumber Manusia.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz berkata pencapaian NTW 2026 mencerminkan kejayaan usaha bersama dalam memperluaskan akses kepada pembelajaran berkualiti serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Setakat 24 Julai 2026, hampir 675,000 penyertaan telah direkodkan menerusi lebih 8,600 kursus yang ditawarkan oleh lebih 1,600 penyedia latihan di seluruh negara. Sambutan ini mencerminkan kesungguhan rakyat Malaysia untuk terus belajar serta komitmen kukuh kerajaan, industri dan penyedia latihan dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
“HRD Corp akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak bagi memastikan peluang meningkatkan kemahiran terus dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia, bukan sahaja semasa NTW, malah sepanjang tahun,” kata Dato’ Shamir.














