PETALING JAYA – Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki dengan meminta wang tebusan sebanyak RM8 juta dua minggu lalu.
Mereka ialah A.Ravichandran, 45, R.Elanggovan, 45, M.Jeyaraj, 43, Moses De Britto John Patrick, 40, Ziyauddin, 33, dan Muhammad Afiq Safine, 36, yang mana kesemuanya membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama tujuh lagi yang masih bebas didapati menculik seorang lelaki berusia 44 tahun dengan niat untuk meminta wang tebusan berjumlah RM8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dataran Sunway di sini pukul 5.15 petang pada 16 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan pertuduhan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Dalam kes ini, ia juga melibatkan amaun yang besar iaitu RM8 juta selain peruntukkan hukuman adalah 30 hingga 40 tahun,” kata Ahmad Loqman.
Mendengar perkara itu peguam T. Daneish dan S.Vinesh yang mewakili tertuduh Moses merayu supaya anak guam mereka diberikan jaminan memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan anak.
Sementara itu, peguam Kailash Sharma yang mewakili tertuduh Ravichandran, Elanggovan dan Jeyaraj turut memaklumkan rayuan sama iaitu mempunyai tanggungan keluarga.
Dua lagi tertuduh iaitu Ziyauddin, dan Muhammad Afiq yang tidak diwakili peguam pula memohon diberikan ikat jamin.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Syahliza tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 September ini bagi sebutan semula kes
Semalam Kosmo! melaporkan enam lelaki akan didakwa atas pertuduhan menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan sebanyak RM7 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M.Kumar berkata, siasatan terhadap lapan individu yang ditahan berhubung kes berkenaan telah selesai dijalankan.
Menurut Kumar, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Jumaat lalu, sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan.
Kumar memaklumkan seramai enam suspek lelaki tempatan akan dituduh di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu kesalahan menculik untuk wang tebusan.
Dalam perkembangan sama, dua lagi suspek iaitu seorang wanita dan seorang lelaki tempatan telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan selepas diikat bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Sebelum ini, media melaporkan enam individu ditahan selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta.
Kumar berkata, polis menerima laporan berhubung penculikan itu daripada isteri mangsa pada 17 Julai lalu dan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di i-City, Shah Alam, Selangor sekitar pukul 1 pagi keesokan harinya. – KOSMO! ONLINE














