fbpx
Fadil.

Lelaki dakwa mangsa peras ugut sebenarnya ‘scammer’ dikehendaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lelaki warga asing yang mendakwa menjadi mangsa pemerasan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, di sini merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa atas kesalahan penipuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, semakan menerusi Interpol mendapati lelaki yang menggunakan kewarganegaraan Vanuatu itu sebenarnya ialah warga China yang dikehendaki negara berkenaan.

“Selain itu, terdapat keraguan terhadap pasport yang dikemukakan yang menyatakan tempat lahirnya di Pontianak, Indonesia, sedangkan semakan Interpol mendapati tempat lahirnya adalah di China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, susulan penemuan itu, suspek dan seorang wanita warga China ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966, Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, seorang lagi wanita warga Thailand yang turut ditahan dibebaskan selepas semakan Jabatan Imigresen mendapati dokumen perjalanannya adalah sah.

“Reman selama 14 hari sehingga 9 Ogos depan telah diperoleh terhadap suspek dan teman wanitanya bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadil berkata, polis sebelum ini menerima laporan daripada lelaki terbabit yang mendakwa dia bersama dua wanita menjadi mangsa pemerasan sekumpulan individu yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Menurutnya, mangsa mendakwa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sebelum diarahkan memindahkan sejumlah wang ke satu akaun bagi mengelakkan ditahan.

Susulan laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah menahan 15 pegawai polis bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka telah diberikan jaminan polis selepas prosedur siasatan awal selesai dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan seramai 12 pegawai dan anggota polis ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes memeras ugut seorang warga asing membabitkan wang berjumlah RM2 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN