fbpx
Anggota pasukan SAR sedang mencari Mohd. Tarmizi yang dikhuatiri hilang di Bukit Kampung Gemuruh, Tepoh, Kuala Nerus hari ini.

Lelaki hilang selepas keluar cari petai di kebun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas keluar mencari petai di kawasan kebun berhampiran Bukit Kampung Gemuruh, Tepoh, di sini pada Ahad lalu.

Kehilangan Mohd. Tarmizi Alias, 44, cuma dilaporkan ahli keluarganya kepada polis pada pukul 2.15 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki tersebut dikatakan keluar dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave ke kebun durian yang terletak kira-kira15 kilometer dari rumahnya pada pukul 10.30 pagi.

“Anggota bomba telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula awal pagi tadi (semalam).

“Pasukan penyelamat dibahagikan kepada tiga kumpulan dan pencarian dilakukan dalam lingkungan radius dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, adik mangsa, Noor Suriati Alias, 35, pula berkata, ibunya, Aminah Awang, 61, tidak tidur lena selepas memikirkan keselamatan abangnya sejak dua hari lalu.

Menurutnya, abangnya yang masih bujang sememangnya mempunyai rutin keluar ke kebun pada waktu pagi sebelum pulang ke rumah di Kampung Petaling, Tepoh, sebelum masuk waktu Maghrib setiap hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN