RAWANG – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas mayatnya ditemui terapung di Tasik Tun Perak, Taman Jati Batu 17 di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 7.55 pagi.
“Komander operasi mengesahkan terdapat seorang mangsa lelaki berbangsa Cina berusia lingkungan 60-an terapung di dalam tasik.
“Mangsa berjaya dinaikkan oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut berhubung punca kejadian sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE














