fbpx
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Peniaga keropok didakwa seludup tembakau ke penjara guna dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang peniaga keropok dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan menceroboh secara jenayah dan menyeludup tembakau ke Penjara Sungai Udang menggunakan sebuah dron, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Nizam Ab. Manaf, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan niat menyeludup masuk barang larangan iaitu tembakau ke kawasan Penjara Sungai Udang menggunakan dron yang berada dalam kawalannya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Kris Satria, Sungai Udang di sini kira-kira pukul 1.20 pagi pada 15 Julai lalu.

Bagi perbuatan tersebut tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyeludup artikel larangan iaitu tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 58 Akta Penjara 1995 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan syarat melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 19 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN