PORT DICKSON – Masalah banjir di Pekan Linggi terus menghantui penduduk dan peniaga, malah mereka berharap wakil rakyat kali ini benar-benar mampu menyelesaikan isu itu yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Seorang peniaga kedai runcit dan gunting rambut, V. Ravi, 60, memberitahu, setiap kali hujan lebat, dia hanya mampu berharap air tidak melimpah masuk ke premis perniagaannya.
“Banjir pada awal tahun ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM4,000 selepas kerusi serta cermin kedai gunting rosak ditenggelami air.
“Saya mula berniaga kedai runcit pada 2019, manakala kedai gunting sudah beroperasi hampir 12 tahun. Masa mula buka kedai dulu semua barang baharu, tetapi bila banjir masuk habis rosak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, situasi lebih mencemaskan apabila hujan lebat berlaku pada awal pagi kerana dia dan isterinya terpaksa menguruskan kedai sendirian.
“Kalau banjir waktu siang masih sempat selamatkan barang, tetapi kalau berlaku pukul 2 atau 3 pagi memang susah. Kami berdua sahaja yang angkat barang,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia berharap kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRN memberi keutamaan kepada projek mitigasi banjir supaya peniaga kecil tidak lagi menanggung kerugian berulang.
“Untung kami bukan besar pun. Pekan ini kecil. Jadi siapa yang menang nanti, tolong selesaikan masalah banjir ini,” katanya.
Bagi N. Pavayee, 62, pula, pengalaman berdepan banjir sejak berpuluh-puluh tahun menyebabkan dia sentiasa berjaga-jaga setiap kali hujan lebat pada sebelah malam.
Katanya, perniagaan keluarga bapa mentuanya itu sudah memasuki generasi ketiga sering terjejas setiap kali banjir melanda.
“Awal tahun ini air naik setinggi 0.3 meter dan kalau air melimpah di jalan itu perkara biasa, kami bersyukur jika air tidak masuk ke dalam kedai,” katanya.
Seorang kerani swasta, Nadia Othman, 39, berkata, banjir bukan sahaja menjejaskan penduduk, malah memberi kesan kepada perniagaan dan kemudahan kesihatan di kawasan itu.
Anak jati Kampung Tampin Linggi itu berkata, dia sedih melihat beberapa premis mengalami kerosakan akibat banjir, termasuk sebuah klinik swasta yang peralatan perubatannya rosak.
“Setiap kali hujan memang kami risau. Kasihan peniaga. Malah, ada sebuah klinik ditutup, mujur ada klinik swasta lain beroperasi di sini. Klinik sangat penting untuk penduduk, terutama jika berlaku kecemasan pada waktu malam,” katanya.
Ujarnya, dia berharap wakil rakyat yang terpilih nanti dapat menaik taraf sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir.
“Memang banjir tidak boleh dielak, tapi boleh dikurangkan melalui langkah yang diambil agensi berkaitan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














