KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) akan terus memperkukuhkan kawalan sempadan negara menerusi operasi bersepadu dan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan.
Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sentiasa bersedia melaksanakan pelbagai penugasan di daratan, perairan serta ruang udara demi menjamin keselamatan negara.
“Jabatan KDNKA merupakan antara jabatan yang mempunyai penugasan yang begitu besar dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Keseluruhan warga KDNKA berjumlah kira-kira 25,000 pegawai dan anggota.
“Kita mengawal keselamatan di udara, daratan dan juga lautan bagi memastikan sempadan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat,” pada sidang akhbar Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah PGA, Cheras, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, kejayaan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merekodkan rampasan melebihi RM77 juta membuktikan keberkesanan operasi yang dilaksanakan secara bersepadu bersama pelbagai agensi penguat kuasa.
“Operasi yang dirancang bersama agensi penguat kuasa lain telah menghasilkan rampasan bernilai lebih RM77 juta. Ini merupakan pulangan kepada negara hasil tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan.
“Melalui Op Tiris, kita berjaya menghalang penyeludupan diesel, petrol, gula, tepung, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) keluar dari negara,” ujarnya.
Azmi berkata, penguatkuasaan KDNKA bukan hanya tertumpu di sempadan utara Semenanjung, malah meliputi kawasan Pantai Timur dari Sungai Golok, Kelantan hingga ke Padang Besar, Perlis selain Sabah dan Sarawak menerusi Briged Sabah dan Briged Sarawak.
“Kita akan terus menyahut seruan kerajaan dengan memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berdasarkan akta dan peruntukan yang berkuat kuasa,” jelasnya.
Terdahulu, Briged Utara PGA merekodkan 862 kes jenayah rentas sempadan dengan 1,403 tangkapan serta membabitkan rampasan bernilai RM77.27 juta bagi tempoh 2023 hingga Jun tahun ini.
Timbalan Pengarah Jabatan (KDNKA) Bukit Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dilaporkan berkata, sindiket dipercayai mempunyai rangkaian sokongan tempatan apabila segelintir individu didakwa membantu operasi mereka sebagai ‘mata dan telinga’ untuk memantau pergerakan pasukan keselamatan.
Menurutnya, pembabitan pihak tertentu menjadi antara cabaran utama pasukan keselamatan dalam membanteras kegiatan penyeludupan migran, dadah, barang kontraban serta bahan api bersubsidi. – KOSMO! ONLINE














