HUBUNGAN pertahanan Malaysia dan Thailand terus diperkukuh menerusi komitmen erat kedua-dua negara dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan serantau, di samping memperkukuh usaha mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di seluruh Asia Tenggara.
Ketegasan oleh kedua-dua negara dizahirkan semasa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerima lawatan pengenalan daripada Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, semalam.
Mohamed Khaled berkata, pertemuan dan perbincangan secara bilateral dilakukan kerana Thailand merupakan satu daripada negara jiran yang mempunyai hubungan rapat dan akrab lebih-lebih dari sudut pertahanan, selain negara anggota ASEAN.
“Kita berbincang perkara-perkara yang menjadi perhatian bersama untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang pertahanan antara kedua-dua negara.
“Antara dibangkitkan ialah memorandum persefahaman (MoU) dalam kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Thailand dapat ditandatangani dalam tahun ini dan kedua-dua negara bersetuju untuk menyegerakan MoU ini untuk ditingkatkan kerjasama sektor pertahanan,” jelasnya.
Beliau berkata, perkara lain turut diberi penekanan ialah kerjasama dalam membangunkan industri tempatan, selain mengawas dan mengawal sempadan antara kedua-dua negara melalui jawatankuasa sempadan bersama Malaysia-Thailand.
“Kita bincang soal kerjasama mengawas sempadan antara dua negara yang dilakukan melalui jawatankuasa sempadan bersama Malaysia-Thailand.
“Ia merupakan tanggungjawab sejak 1978 untuk memastikan sempadan selamat daripada kegiatan yang boleh memudaratkan kedua-dua negara seperti penyeludupan dan kemasukan haram,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia menjadi tuan rumah bagi General Border Committee Meeting Malaysia-Thailand ke-57 pada tahun ini dengan pelbagai perkara berhubung keselamatan sempadan dan operasi antara kedua-dua negara akan dibincangkan.
“Soal untuk menjayakan pembangunan sosioekonomi dan soal untuk mengkoordinasi pengurusan bencana di kawasan sempadan, kita telah bincangkan dan akan terus dibincangkan dalam mesyuarat ini yang diadakan menjelang akhir tahun ini.
“Kita juga mengalu-alukan penyertaan Thailand setiap masa dalam program kerjasama pertahanan Malaysia yang mana kita berikan tempat kepada pegawai-pegawai tentera Thailand untuk mengikuti pelbagai program dan kursus di bawah Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP),” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan pelantikan Thanut Suvarnananda sebagai Ketua Dialog Keamanan Selatan Thailand dalam usaha memastikan keamanan dan kestabilan di kawasan berkenaan.
“Kita akan beri segala kerjasama kepada pihak ketua dialog supaya dapat mencapai matlamat seperti diharapkan. Kita menyokong usaha supaya kawasan Selatan Thailand dalam keadaan amat dan stabil,” katanya.
Jelas beliau, perkara lain turut dibincangkan dalam pertemuan itu adalah Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan mesyarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus di Filipina. -KOSMO! ONLINE















