BERA – Kerajaan negeri menyasarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) Pahang 2026 yang akan berlangsung selama empat hari di Raub bermula esok akan menjana nilai jualan melebihi RM1.3 juta dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai peneraju sektor agromakanan negara itu akan menghimpunkan lebih 100 usahawan serta lebih 30 jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan sektor agromakanan.
Katanya, MAHA Pahang 2026 bertemakan ‘Agro Lestari, Bina Negeri’ yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pertanian, penternakan dan perikanan melalui penerapan teknologi serta inovasi terkini.
“Kekuatan Pahang dengan landskap negeri yang luas, tanah yang subur serta kepelbagaian sumber semula jadi menjadi asas kukuh untuk negeri ini memainkan peranan penting dalam pengeluaran makanan negara.
“MAHA Pahang 2026 bukan sekadar pameran, tetapi menjadi medan menghubungkan pemain industri, memperluas peluang perniagaan serta membuka ruang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka.
“Ia juga memberi pendedahan kepada generasi muda bahawa sektor pertanian kini merupakan industri moden yang mempunyai potensi besar untuk diceburi,”katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan (Flag Off) Konvoi MAHA Pahang 2026 membabitkan 25 kenderaan di pekarangan lobi Pejabat Daerah dan Tanah Bera, di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, antara objektif utama penganjuran program itu adalah bagi memperkenalkan penggunaan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara petani, peladang, penternak, nelayan, usahawan, agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi penyelidikan.
Katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan menarik minat golongan muda menceburi sektor agro makanan dengan menampilkan bidang itu sebagai industri berdaya saing dan mampu menjana pendapatan tinggi.
Dalam pada itu beliau memberitahu, sepanjang empat hari penganjuran, pengunjung bakal menikmati pelbagai tarikan termasuk pameran teknologi pertanian pintar, ternakan dan perikanan, jentera pertanian, produk Pahang Best, haiwan eksotik serta pameran penyu hidup.
Katanya, turut menjadi tarikan ialah pesta buah-buahan tempatan dengan agihan buah-buahan percuma pada 25 Julai, program padanan perniagaan usahawan, jualan anak pokok, input pertanian, produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta aneka makanan tempatan.
“Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif disediakan termasuk program kucing angkat, klinik veterinar, demonstrasi cantuman durian, dandanan kucing, teknik pembiakan lembu, pembuatan ikan pekasam serta kursus berkaitan industri agromakanan.
“Pelbagai pertandingan turut dianjurkan seperti pertandingan hasil pertanian, Kucing Awesome, lasso lembu, menarik ATV, memasak dan mewarna, selain edaran benih kelapa percuma setiap hari.
Tambahnya, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah kereta Perodua Bezza, seekor lembu Wagyu, motosikal, peti ais, mesin basuh serta hadiah menarik lain dalam program itu.-KOSMO! ONLINE














