PETALING JAYA – Para peniaga di Medan Selera 223, Seksyen 51A di sini, sekali lagi menanggung kerugian apabila premis mereka dilanda banjir kilat buat kali ketiga tahun ini susulan hujan lebat petang kelmarin.
Seorang peniaga, Jamaliah Yusoff, 62, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM2,000 selepas beberapa barangan dan peralatan perniagaan rosak akibat banjir kilat itu.
Menurutnya, walaupun sempat menyelamatkan sebahagian barangan, masih ada yang tidak dapat diselamatkan kerana air naik begitu cepat.
“Saya harap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, meskipun berdepan kejadian banjir yang berulang, dia tetap yakin untuk meneruskan perniagaan di lokasi berkenaan kerana sudah lebih tiga dekad mencari rezeki di situ.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu, hujan lebat melanda Lembah Klang menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air sehingga dianggarkan mencecah dua meter.
Susulan laporan diterima, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian bagi menjalankan pemantauan dan memastikan keadaan selamat. Bagaimanapun, tiada pemindahan penduduk dilakukan.
Kejadian semalam merupakan banjir kilat ketiga melanda Medan Selera 223 tahun ini selepas insiden sama dilaporkan pada 20 April dan 6 Mei lalu.
Dalam kejadian pada 6 Mei, kira-kira 60 gerai ditenggelami air sedalam 1.2 meter, manakala beberapa kenderaan diparkir di kawasan itu turut tenggelam.
Sebelum ini, MBPJ memaklumkan kejadian banjir di kawasan itu berpunca daripada taburan hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh singkat dari kawasan hulu di Kuala Lumpur.














