fbpx
TERTUDUH (kanan) menutup muka selepas sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini.

Pempengaruh berdepan penjara hingga 30 tahun, sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Seorang pempengaruh media sosial berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun 10 bulan di dalam sebuah bilik di Taman Kangar di sini kira-kira pukul 3.10 pagi pada 17 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Ahmad Poad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media melaporkan pada 13 Julai lalu, tertuduh ditahan polis bagi membantu siasatan selepas disyaki merogol dan merakam gambar lucah mangsa di sebuah rumah sewa di Taman Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop sebelum ini dilaporkan berkata, suspek ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa berhubung kejadian tersebut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN